PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan peguam Datuk V.K Lingam untuk membatalkan keputusan Lembaga Tatatertib Badan Peguam yang mengeluarkan namanya daripada Senarai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya atas dakwaan salah laku berkaitan klip video mengenai pelantikan hakim.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Lee Swee Seng berkata mahkamah mendapati tiada merit dalam hujah Lingam bahawa terdapat pelanggaran keadilan semula jadi kerana mendakwa tidak didengar secara langsung sebelum lembaga disiplin mengenakan hukuman terhadapnya.

Beliau berkata keterangan pembuat klip video itu, Loh Gwo Burne bahawa apa yang beliau lakukan dan dengar di rumah Lingam adalah bukti nyata dan beban bukti dialihkan kepada Lingam untuk menafikan bahawa beliau pernah mengucapkan kata-kata yang didengar oleh Loh dan bapanya sebagaimana yang ditunjukkan dalam klip video itu.

Hakim itu berkata Loh, yang memberi keterangan di hadapan jawatankuasa tatatertib tersebut telah mengesahkan bahawa beliau dan bapanya berada di rumah Lingam pada malam 20 Dis 2001 dan beliau merakamkan peristiwa berkenaan, melibatkan tindakan dan perbincangan Lingam.

Beliau berkata Lingam tidak menafikan peristiwa pertemuan di rumahnya dengan Loh dan bapanya.

"Apa yang dikatakan perayu (Lingam) adalah klip video itu tidak tulen. Perayu tidak mengatakan dengan tegas bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan percakapan seperti itu di telefon bimbitnya, tetapi hanya tidak dapat mengingati perbualan seperti itu ketika Loh dan bapanya berada di rumahnya pada malam berkenaan," kata hakim.

Beliau berkata adalah di pihak Lingam untuk mengatakan dalam keterangannya bahawa beliau hanya bermegah-megah serta tidak boleh mempengaruhi dan apa yang berlaku hanyalah dibuat-buat.

Hakim itu berkata jawatankuasa tatatertib telah menerima dan menilai dengan tepat keterangan yang diberikan Loh serta bapanya dan bukti rakaman dalam klip video tersebut selain keterangan pakar yang dipanggil oleh kedua-dua belah pihak dan mendapati terdapat bukti yang melangkaui keraguan yang munasabah bahawa salah laku telah terbukti berkaitan dengan Lingam yang mengganggu dan mempengaruhi pelantikan kehakiman.

Beliau berkata mahkamah tidak melihat ada alasan yang baik untuk mengganggu penemuan fakta jawatankuasa tatatertib dan lembaga disiplin itu.

Panel hakim itu yang juga dianggotai Hakim Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Hashim Hamzah memerintahkan Lingam membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Majlis Peguam.

Prosiding hari ini dijalan secara dalam talian.

Lingam mengemukakan rayuan terhadap terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei 2018 yang mengekalkan keputusan lembaga tatatertib itu yang mengeluarkan namanya daripada Senarai Peguam Bela dan Peguam Cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Dalam usul pemulanya, Lingam yang menamakan Majlis Peguam sebagai responden, memohon mahkamah membatalkan keputusan Lembaga Tatatertib Badan Peguam pada 6 Nov 2015 yang mengesahkan dapatan dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib yang mendapati beliau telah mencampuri atau mengganggu dan mempengaruhi dalam urusan pelantikan badan kehakiman.

Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk membatalkan dapatan dan syor Jawatankuasa Tatatertib yang menggantung beliau daripada berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara selama setahun dan didenda RM20,000.

Peguam R. Thayalan mewakili Lingam manakala sepasukan peguam yang diketuai Razlan Hadri Zulkifli mewakili Majlis Peguam.

-- BERNAMA