KUALA LUMPUR:Semua vaksin COVID-19 yang diperoleh menerusi skim COVAX, seperti yang disertai Malaysia, dikecualikan daripada perintah larangan eksport vaksin yang diumumkan Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini.

Duta Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia Michalis Rokas, menerusi satu kenyataan memaklumkan bahawa hanya vaksin yang diperoleh di luar skim COVAX dikenakan perintah itu.

Malah, beliau memberi jaminan perjanjian eksport vaksin yang dilakukan menerusi perjanjian pembelian awal atau Advance Purchase Agreements (APAS) seperti yang dimeterai dengan Malaysia akan dipatuhi EU.

"EU juga berikrar bagi memastikan perjanjian pembelian vaksin yang sudah dimeterai dengan Malaysia akan dipenuhi mengikut jadual masa yang sudah ditetapkan.

"Malah EU juga sudah menghubungi pihak pengeluar vaksin berkenaan, bagi memaklumkan perkembangan ini," katanya.

BACA: COVID-19: WHO selar tindakan EU larang eksport vaksin

Terdahulu EU mengumumkan langkah mengenakan perintah larangan eksport vaksin yang mengehadkan eksport vaksin COVID-19 yang dikilangkan di EU, untuk penghantaran sebelum 31 Mac 2021.

Langkah ini dilakukan, bagi memastikan wujud ketelusan dalam pasaran yang sensitif, serta mengelak aktiviti penjualan semula dan penyeludupan vaksin.

Langkah ini juga akan dilakukan secara segera bagi mengelakkan kelewatan penghantaran vaksin ke negara import.