LUMUT: Pengeoperasian 13 lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dijangka bermula hujung bulan ini akan melengkapkan keseluruhan 31 PPV di Perak bagi suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, setakat ini hanya 18 daripada 31 PPV yang berfungsi berikutan bekalan vaksin yang tidak mencukupi.

Menurut beliau, jika 31 PPV itu dapat berfungsi sepenuhnya maka ia akan memaksimumkan jumlah penerima vaksin sekurang-kurangnya 30,000 individu sehari.

"Ada lagi 13 (PPV) yang belum berfungsi, bukan kerana tidak cukup tenaga kerja tetapi untuk memastikan bekalan vaksin yang sampai itu mencukupi.

"Kalau ikut pengumuman yang dibuat oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, dalam tempoh hujung bulan Jun dan Julai, vaksin akan sampai ke Malaysia.

"Kalau seperti yang dijadualkan, bermakna 13 PPV lagi akan kita buka dan beroperasi. Baru-baru ini kita dapat 10,000 (suntikan vaksin) sehari, kalau ada 13 lagi PPV maka kita boleh capai 20,000 hingga 30,000 (suntikan vaksin)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tiga perkampungan di Batu 9 Lekir, di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Tanjung Kepah, di sini pada Ahad.

Tambahnya lagi, dengan kemudahan yang disediakan seperti pengangkutan ke PPV bagi golongan sasaran, akan meningkatkan jumlah penerima vaksin seperti yang disasarkan.

"Kecekapan di kalangan jentera seperti petugas kesihatan dan barisan hadapan ini sudah baik, termasuk PPV pandu lalu yang kita lancarkan baru-baru ini.

"Yang penting ialah kesediaan orang ramai untuk mengambil vaksin, lagi banyak PPV dan semakin hampir PPV dengan kediaman mereka, jadi sepatutnya tiada masalah untuk mereka dapatkan vaksin," katanya lagi.

Terdahulu, dalam lawatan itu Saarani turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 260 buah keluarga membabitkan 1,961 orang penduduk dikenakan PKPD.

Kampung yang terlibat membabitkan Kampung Tanjung Kepah, Kampung Batu 9 dan Kampung Sungai Lombong.