KUALA LUMPUR: Seramai 25.42 juta individu atau 77.8 peratus daripada populasi keseluruhan telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Berdasarkan data portal COVIDNOW, 79.2 peratus atau 25.86 juta daripada populasi keseluruhan telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Dalam pada itu, seramai 22.7 juta individu atau 97 peratus daripada populasi dewasa telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Manakala, 98.4 peratus atau 23.03 juta daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi populasi remaja pula, seramai 2.71 juta individu atau 86.3 peratus telah melengkapkan dua dos.

Sementara itu, data kemajuan program imunisasi mengikut negeri bagi populasi keseluruhan menunjukkan hanya Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah masih merekodkan kadar vaksinasi di bawah 70 peratus.

Terdapat pertambahan 150,357 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 53.82 juta dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.