KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,773,263 individu atau 88.1 peratus daripada populasi remaja di negara ini telah lengkap menerima vaksin COVID-19, setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW, sebanyak 2,861,246 individu atau 90.9 peratus daripada kumpulan yang berusia 12 hingga 17 tahun itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi dewasa, sejumlah 22,902,459 individu atau 97.8 peratus daripada mereka telah melengkapkan vaksinasi manakala 23,182,938 individu atau 99 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Dalam pada itu, 167,955 dos suntikan vaksin diberikan semalam melibatkan 985 dos pertama, 897 suntikan dos lengkap dan 166,073 suntikan dos penggalak menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 60,729,670 dos.

Jumlah kumulatif pemberian dos penggalak pula kini sebanyak 9,212,282 dos.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, 19 kes kematian direkodkan semalam.

-- BERNAMA