Malaysia bersedia untuk melabur dalam penggunaan vaksin COVID-19 yang dihasilkan dari China atau Rusia jika ia benar-benar berkesan dan selamat.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bagaimanapun perkara itu hanya akan diputuskan selepas vaksin itu mempunyai bukti saintifik dan data sokongan keberkesanan selain tidak mempunyai kesan sampingan lain.

Katanya, sehingga kini, kerajaan masih tidak mempunyai sebarang maklumat terkini berhubung ujian klinikal vaksin berkenaan.

"Sebelum kita putuskan untuk menyertai penyelidikan atau melabur, kita perlu lihat keberkesanan (penggunaan) vaksin itu dan kesan sampingan lain jika digunakan.

"Perkara ini memerlukan bukti saintifik atau data sokongan sebelum kita melabur atau membeli vaksin itu.

"Sekarang ini kita senang menunggu maklumat terkini (berhubung ujian klinikal vaksin) dan (apabila) pakar kita akan lihat vaksin itu berkesan, pasti kita akan labur dan guna vaksin itu," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

China mendakwa vaksin hasil penyelidikan pakar mereka dikenali sebagai "Ad5-nCoV" kini dalam peringkat klinikal fasa tiga selain Britain dan Rusia juga sedang berusaha membangunkan vaksin virus itu menggunakan teknologi sama.