KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menumpukan proses vaksinasi dos pertama dan kedua vaksin COVID-19 kepada seramai mungkin rakyat di negara ini.

Pakar kesihatan awam, Profesor Datuk Dr Syed Mohamad Aljunid Syed Junid berkata, buat masa ini kajian berkenaan pengambilan dos ketiga atau dos penggalak (booster shot) vaksin COVID-19 masih belum memadai.

Jelasnya, walaupun petugas barisan hadapan kesihatan berdepan risiko yang tinggi, namun dua dos vaksin telah berjaya meningkatkan sistem imun mereka.

"Belum ada lagi maklumat yang jelas mengenai keperluan dari segi selang waktu di antara selepas dos kedua dan sebagainya.

"Jadi saya rasa, adalah elok kita tumpukan untuk beri dos pertama dan kedua dahulu kepada semua ahli masyarakat.

"Kita tahu petugas barisan hadapan berdepan risiko lebih tinggi dan semua frontliners telah mendapat vaksin yang mencukupi.

"Kebanyakan mereka (petugas barisan hadapan) yang mendapat jangkitan, mereka mengalami gejala yang sederhana atau ringan, tidak sampai ke peringkat yang kritikal," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

BACA: Varian Delta: Malaysia kaji keperluan suntikan ketiga vaksin - Khairy

Justeru, beliau berpandangan adalah wajar untuk petugas barisan hadapan untuk melaksanakan kaedah-kaedah pencegahan dengan memakai alat perlindungan diri (PPE) dan sebagainya.

Mengulas berkenaan tindakan Pfizer yang merancang untuk meminta Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) meluluskan dos vaksin tambahan ketiga, Dr Syed Mohamad Aljunid sifatkan ia hanya perancangan awal syarikat farmaseutikal itu.

"Ada yang mengatakan kemungkinan dos penggalak diperlukan dalam satu tempoh waktu antara setahun ataupun setahun setengah daripada mendapat suntikan kedua.

"Jadi mungkin Pfizer mengambil langkah awal untuk pastikan mereka mendapat kelulusan tersebut.

"Namun apa yang lebih penting adalah bilakah selang waktu untuk memberikan dos penggalak tersebut, ia masih tidak dapat dipastikan lagi," ujarnya.

BACA: COVID-19: Tiada keperluan suntikan ketiga vaksin buat masa ini - FDA, CDC

Justeru, beliau berpandangan, sementara maklumat terperinci diperoleh untuk membuat keputusan berkenaan dos penggalak, adalah wajar supaya kerajaan memfokuskan pemberian dos pertama dan kedua terlebih dahulu.