KOTA BHARU: Polis kelantan hampir menyiapkan siasatan berhubung paparan di laman sosial mendakwa berlaku cubaan untuk memotong barisan suntikan COVID-19 oleh kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Kelantan seperti yang dilaporkan media sebelum ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, setakat ini polis telah mengambil keterangan daripada tujuh individu.

“Siasatan sudah dijalankan dan setakat ini tujuh saksi telah direkodkan keterangan. Pihak polis telah berhubung suspek di Putrajaya dan sedang berusaha untuk dapatkan tarikh bagi mengambil percakapan,” katanya.

Pada 3 Mac lepas, kerajaan Kelantan melalui pegawai khas Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Mohamed Taufik Ramli membuat laporan beRhubung penularan paparan berkenaan serta dakwaan itu.

BACA: Vaksin COVID-19: Dakwaan ada amalan 'potong barisan', kerajaan negeri Kelantan buat laporan polis

Kerajaan negeri meminta pihak polis menjalankan siasatan beehubung laporan yang didakwa tidak benar serta menjejaskan imej kerajaan negeri.

Sebelum itu Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin menafikan dakwaan berlaku pemotongan barisan 200 kakitangan Pejabat SUK Kelantan, dalam Program Imunisasi COVID-19 di Kelantan pada 2 Mac lepas.

Sebelum ini tular di laman media sosial antaranya di Twitter memaparkan tangkap layar pesanan mendakwa suntikan vaksin COVID-19 kepada doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang tersenarai awal terpaksa ditangguhkan bagi memberi laluan kepada 200 ahli SUK.

BACA: Kerajaan Kelantan nafi potong barisan untuk dapatkan suntikan vaksin COVID-19

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505b Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.