KUALA LUMPUR: Pemberian vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan kadar tertinggi pada Isnin apabila sejumlah 521,923 dos diberikan.

Daripada jumlah itu, 333,621 adalah dos pertama sementara selebihnya dos kedua, menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) COVID-19. 

Jumlah suntikan tertinggi direkodkan di Lembah Klang, iaitu sebanyak 215,834, merangkumi dos pertama dan dos kedua, diberikan melalui 'Operasi Lonjakan Kapasiti'. 

Secara kumulatifnya, jumlah keseluruhan suntikan vaksin yang diberikan setakat ini ialah sebanyak 17.83 juta - dos pertama meliputi 37.1 peratus populasi negara sementara dos kedua 17.5 peratus.

Pada masa sama, 51.8 peratus populasi dewasa negara telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 24.4 peratus dua dos.