Dr Zaliha akan terus sokong agenda MADANI

Dr Zaliha merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin portfolio Wilayah Persekutuan sebelum ini. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Bekas Menteri Wilayah di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, menegaskan beliau akan terus memberikan sokongan penuh kepada agenda MADANI serta dasar-dasar reformasi yang sedang dan akan dilaksanakan demi negara dan rakyat.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan untuk memimpin portfolio Wilayah Persekutuan sebelum ini.
"Saya percaya setiap keputusan Perdana Menteri diambil dengan pertimbangan rapi, berlandaskan kepentingan negara, serta memastikan pentadbiran Kerajaan MADANI terus stabil dan fokus pada agenda reformasi.
"Saya juga mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan Jemaah Menteri baharu," kata Dr Zaliha dalam kenyataan hari ini.
Dr Zaliha turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Jabatan Wilayah Persekutuan serta agensi-agensinya atas komitmen dan kerjasama yang sangat baik sepanjang tempoh beliau menerajui portfolio terebut.
Beliau berkata dalam tempoh hampir dua tahun, pelbagai isu legasi yang berlarutan telah dapat ditangani secara berperingkat, termasuk usaha tegas membanteras kartel bazar yang sekian lama menekan penjaja kecil dan peniaga mikro.
Melalui pelaksanaan Program Usaha Jaya Insan (PUJI), Dr Zaliha berkata Kerajaan MADANI di Wilayah Persekutuan juga telah berjaya menoktahkan miskin tegar, sekali gus membuktikan bahawa pendekatan bersasar, bersepadu dan berteraskan data mampu membawa perubahan sebenar kepada kehidupan rakyat.
"Di Wilayah Persekutuan Labuan, fokus pemerkasaan ekonomi tempatan terus digerakkan melalui inisiatif pelancongan dan kebolehhubungan, termasuk pengoperasian semula feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu serta pelaksanaan kajian kebolehlaksanaan Jambatan Labuan-Menumbok yang kini berada pada fasa pelaksanaan," katanya.
Dr Zaliha mengucapkan tahniah kepada Hannah Yeoh atas pelantikan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan yang baharu dan berharap agar Hannah dapat meneruskan agenda pembangunan Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.
Selain Dr Zaliha, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, yang sebelum ini menerajui jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), turut digugurkan daripada barisan Kabinet baharu yang diumumkan hari ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


