KOTA BHARU: Tiada kesalahan dalam peruntukan Akta 342 akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi individu yang menolak untuk menerima suntikan vaksin COVID-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang Undang dan Parlimen) Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Kebangsaan dibuat secara percuma dan sukarela ke atas individu yang tersenarai.

“Kerajaan Malaysia menetapkan pengambilan vaksin ini adalah sukarela, tiada paksaan. Jadi, kalau seorang itu namanya sudah ada dalam senarai, dia tidak mahu ambil vaksin... itu terpulang pada dia.

“Bagi kita, dia melepaskan peluang untuk divaksinkan... tiada paksaan dan percuma,” jelas Takiyuddin.

Beliau berkata demikian pada sesi pertemuan dengan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan bekas pemain bola sepak Kelantan di sini, lewat petang tadi.

Katanya lagi, individu yang menolak menerima suntikan disifatkan rugi kerana ianya diberikan secara percuma.

Sebagai rekod, pendaftaran untuk menerima suntikan vaksin dibuat melalui laman MySejahtera yang mana setakat ini sudah melebihi 1.74 juta rakyat Malaysia yang mendaftar.