KUALA LUMPUR: Vaksin COVID-19 yang dibangunkan di Malaysia melalui kerjasama Institut Kajian Perubatan (IMR) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) dijangka siap menjelang 2024.

Memetik laporan The Star, Pengarah IMR Dr Tahir Aris memaklumkan bahawa vaksin tersebut turut dibangunkan sebagai suntikan ‘booster’ yang berkesan terhadap varian baharu.

“Mereka yang melengkapkan suntikan vaksin mungkin memerlukan suntikan ‘booster’ supaya kekal dilindungi. Mereka mungkin memerlukannya setiap tahun.

“Langkah ini penting bagi mengekalkan pertahanan terhadap koronavirus. Malaysia tidak patut bergantung sepenuhnya kepada bekalan vaksin diimport,” kata Dr Tahir yang dipetik oleh laporan itu.

Beliau menambah bahawa pembangunan vaksin tersebut juga mengambil kira Varian of Concern (VOC) seperti Delta.

“Kami berharap vaksin ini berkesan terhadap varian-varian baharu,” katanya.

Menurut Dr Tahir, perkembangan projek tersebut positif setakat ini dan vaksin itu akan melalui ujian pra-klinikal membabitkan haiwan mulai bulan depan di Institut Penyelidikan Veterinar di Ipoh, Perak.

“Ujian-ujian itu akan mengambil masa kira-kira enam bulan sebelum beralih ke ujian klinikal membabitkan manusia tahun depan.

“Justeru itu, kami berharap vaksin akan siap menjelang 2024.”

IMR kini sedang membangunkan dua jenis vaksin COVID-19 dengan satu daripadanya merupakan vaksin jenis messenger ribonucleic acid (mRNA) manakala satu lagi melalui pendekatan vaksin tidak aktif.

Vaksin jenis mRNA tersebut telah dibangunkan sejak November tahun lalu.