KUALA LUMPUR:Kerajaan dilihat 'gagal' dalam aspek komunikasi risiko termasuk menyampaikan informasi yang tepat berhubung vaksin COVID-19 kepada masyarakat.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata masyarakat ketika ini dilihat lebih banyak mendapat maklumat daripada luar negara.

"Secara jujur setakat ini, kerajaan gagal dalam komunikasi risiko dan  (memberi) informasi vaksin yang tepat kepada masyarakat kerana masyarakat mendapat maklumat pelbagai daripada badan-badan profesional di luar daripada negara," katanya kepada Astro AWANI melalui Skype pada Isnin.

Susulan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menimbangkan untuk menubuhkan sebuah badan bebas yang berperanan memastikan maklumat yang tepat mengenai program vaksinasi dapat disalurkan kepada rakyat.

"Pada masa ini, saya cadangkan kerajaan tubuhkan satu badan bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dan pengguna supaya semua infomasi data dapat diyakini dan diterima masyarakat kerana jurang kepercayaan amat tinggi sekarang dan satu cabaran besar kerajaan untuk melaksanakan program vaksinasi.

"Walaupun (vaksin) sangat penting dan berfaedah namun di akhirnya, jika masyarakat tidak terima, kita akan lambat mencapai tujuan kita," katanya lagi.

Pelan vaksinasi kebangsaan

BACA: Vaksin COVID-19 selamat, tiada kesan sampingan jangka panjang - MOSTI

BACA: Golongan antivaksin boleh didakwa


Kata Zainal Ariffin lagi, pihaknya perlu berkata jujur mengenai perkara itu memandangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilihat masih tidak mahu berkongsi dengan masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) mengenai maklumat vaksin.

"Dulu saya bekerja di KKM, sekarang saya berada  dalam NGO dan komuniti. Secara jujur saya cakap, pada setakat ini, KKM masih tertutup dan tidak berkongsi kepada masyarakat awam dan tidak mengajak kumpulan-kumpulan pakar daripada luar kementerian untuk sama-sama menggalas isu ini," ujarnya.

Apa yang paling penting katanya, selain melihat kepada isu logistik, kerajaan perlu mempunyai sistem pelaporan dan pemantauan tentang kesan-kesan sampingan vaksin COVID-19 yang akan diperoleh negara.

"Walaupun vaksin ini telah diuji di negara luar, namun pada masa ini di peringkat negara kita, (perlu) field testing di negara kita.

"Jadi mesti ada sistem pelaporan yang telus dan pemantauan di samping memaklumkan kepada masyarakat mengenai status terkini vaksin tersebut," tambahnya lagi.