SEJUTA dos vaksin COVID-19 yang disumbangkan oleh Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia, esok.

Pegawai Amerika Syarikat berkata, pelan untuk lebih banyak penghantaran vaksin ke Asia Tenggara digerakkan tidak lama lagi.

Jumlah berkenaan merupakan daripada kumpulan awal 80 juta vaksin buatan Amerika Syarikat yang dijanjikan oleh pentadbiran Joe Biden bulan lalu untuk berkongsi secara global.

Ini susulan kebimbangan mengenai perbezaan kadar vaksinasi antara negara maju dan membangun.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 (PICK), Khairy Jamaluddin sebelum ini mengkritik Kesatuan Eropah (EU) dan negara maju lain kerana membolot vaksin.

Bagaimanapun kata Khairy, negara yang dikritik kini mula berusaha untuk berkongsi vaksin dengan Malaysia dan akan menerima sumbangan vaksin dari Amerika Syarikat dan China.

Washington sedang bersaing dengan China untuk memperkukuh pengaruh geopolitik melalui apa yang disebut sebagai diplomasi vaksin.

Pengarah Kanan untuk Asia Timur di Majlis Keselamatan Kebangsaan White House, Edgard Kagan berkata, Amerika Syarikat berkongsi vaksin yang selamat dan berkesan dengan Malaysia pada saat yang diperlukan dan akan membuat penghantaran lanjut ke rantau ini dalam waktu terdekat.

Amerika Syarikat juga sedang berusaha secepat mungkin untuk memberikan vaksin tambahan di seluruh Asia Tenggara.

Ia umumkan pelan untuk memberikan vaksin ke Filipina, Vietnam, Indonesia, Thailand, Laos, Papua New Guinea dan Kemboja.

Pada Jumaat, Amerika Syarikat berkata ia akan mengirimkan 4 juta dos vaksin Moderna ke Indonesia secepat mungkin melalui Program COVAX.

Washington telah menyatakan akan membeli 500 juta vaksin Pfizer-BioNTech untuk diedarkan ke Kesatuan Afrika dan 92 negara berpendapatan sederhana dan rendah.