KUALA LUMPUR:Bekalan vaksin COVID-19 daripada syarikat Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada 21 Februari ini.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Majlis Pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya di Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini.

Jelas beliau, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari.

“Di mana saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan.

“Seperti yang telah diumumkan, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa.

“Fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula pada 26 Februari sehingga April 2021. Fasa kedua pula akan bermula pada bulan April sehingga Ogos 2021 dan akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi, manakala Fasa Ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Febuari 2022,” katanya di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merangkap Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Jelas Perdana Menteri, program imunisasi menyeluruh dilaksanakan untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan diterbitkan untuk menerangkan dengan lebih lanjut berhubung dasar program imunisasi.

Katanya, dokumen yang diterbitkan bukan sahaja menjadi rujukan kepada para pembuat dasar dan pelaksana, malah juga untuk rujukan masyarakat.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan dilaksanakan melalui tiga fasa, bermula hujung bulan ini, dengan menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.