Vaksin Pfizer akan dihantar ke 16 PSV di seluruh negara - Khairy Jamaluddin

Hasimi Muhamad
Februari 21, 2021 03:54 MYT
Khairy Jamaluddin (tengah) berbincang sesuatu bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Vaksin COVID-19 yang telah tiba di Malaysia akan dihantar ke 16 lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) di seluruh negara.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuk penghantaran kenderaan darat dari Singapura ke Johor yang dijadual tiba di PSV pada pukul 2 petang ini.
BACA: 271,802 petugas barisan hadapan berdaftar terima suntikan vaksin fasa pertama - Khairy
Selain itu, vaksin turut diterbangkan ke PSV di Pulau Pinang yang mana ia dijangka tiba pada pukul 6 petang.
"Pusat Simpanan Vaksin melibatkan enam di Selangor, empat di Johor, Kuala Lumpur (tiga); Pulau Pinang (dua); serta Putrajaya (satu)," katanya hari ini.
Bercakap pada sidang media selepas ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini, Khairy menambah berkata, Malaysia dijangka menerima penghantaran kedua vaksin itu pada 26 Feb ini.
"Seterusnya, setiap dua minggu kita akan menerima (bekalan vaksin Pfizer) sehinggalah kita menerima keseluruhan tempahan daripada PFizer.
"Ini untuk Pfizer sahaja, ia belum lagi kita umumkan untuk vaksin-vaksin lain.
"Pada 27 Feb, kita terima kumpulan pertama daripada Sinovac. Itu akan kita bawa ke Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk dinilai," katanya pada sidang media di sini hari ini.
BACA: Vaksin Sinovac tiba di Malaysia pada 27 Februari
Terdahulu, vaksin Pfizer-BioNTech yang diterbangkan menggunakan pesawat Airbus 330-300 dikendalikan MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) dari kilang Pfizer di Belgium selamat mendarat di KLIA pada jam 10 pagi.
Penerbangan dengan Pesawat Malaysia Airlines MH604 yang dihiasi Jalur Gemilang itu membawa 312,390 dos vaksin.
Fasa pertama Progam Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan berjalan dari Februari hingga April, melibatkan petugas barisan hadapan.
Ia akan mula diedarkan untuk suntikan pada 24 Feb ini.
INTERAKTIF: Bilakah anda akan menerima vaksin COVID-19? Ketahui di sini
#Khairy Jamaluddin #Malaysia Airlines #Kuala Lumpur #Jalur Gemilang #COVID-19 #Pfizer #Singapura #Belgium #Airbus #vaksin