KUALA LUMPUR: Seramai 21,399,802 juta individu atau 91.4 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 95.1 peratus atau 22,260,137 juta populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Lembah Klang mencatatkan kadar vaksinasi populasi dewasa tertinggi iaitu 112.6 peratus.

Ini diikuti Negeri Sembilan dengan 99.9 peratus, Labuan (99.4 peratus), Perlis (94.7 peratus), Pulau Pinang (92.2 peratus), Johor (90.4 peratus) dan Melaka (90.1 peratus).

Seterusnya, Sarawak (89.9 peratus), Terengganu (89.3 peratus), Pahang (82.1 peratus), Perak (82 peratus) dan Kedah (81 peratus).

Hanya Kelantan dan Sabah masih mencatatkan kadar vaksinasi populasi dewasa di bawah 80 peratus apabila masing-masing merekodkan 75 peratus dan 67.3 peratus.

Bagi populasi keseluruhan, seramai 22,036,881 juta individu atau 67.5 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Manakala, 75.7 peratus atau 24,699,864 juta daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, seramai 637,079 atau 20.2 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Terdapat pertambahan 174,732 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat ini adalah 46,633,404 juta dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.