KUALA LUMPUR: Kadar vaksinasi COVID-19 penduduk dewasa negara kini melepasi angka 90 peratus.

Seramai 21,154,357 individu atau 90.4 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 setakat ini.

Berdasarkan portal COVIDNOW, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, 94.9 peratus atau 22,200,207 populasi dewasa telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Lembah Klang mencatat jumlah tertinggi diberikan dos kepada golongan dewasa iaitu 112.2 peratus diikuti Labuan (99.2 peratus), Negeri Sembilan (98.9 peratus), Perlis (94.2 peratus) dan Pulau Pinang (90.5 peratus)

Paling rendah adalah Sabah (65.5 peratus), diikuti Kelantan (74 peratus)

Negeri yang mencapai kadar vaksinasi 80 peratus ke atas adalah Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Johor, Melaka dan Sarawak.

Bagi populasi keseluruhan, seramai 21,437,380 individu atau 65.6 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

Manakala, 75 peratus atau 24,510,702 daripada populasi keseluruhan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Selain itu, seramai 283,023 atau 9.0 peratus daripada populasi remaja telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin.

Terdapat pertambahan 184,486 dos diberikan semalam membabitkan kedua-dua populasi tersebut.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah 45,835,200 dos.

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.