KOTA BHARU: Pelajar sekolah yang berusia 16 dan 17 tahun mula mendapatkan suntikan vaksin secara 'walk-in' di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh Kelantan.

Bagaimanapun bagi pelajar berkenaan, mereka perlu datang bersama ibu bapa dengan membawa dokumen yang diperlukan bagi mendapatkan suntikan di lebih 20 PPV.

Suntikan kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun bermula pada Isnin dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kelantan.

Sementara itu, pelajar yang ditemui menyambut baik pemberian suntikan sebagai persediaan untuk pembukaan sesi persekolahan.

Zahira Zaidi berkata, dia berasa selamat selepas disuntik vaksin COVID-19.

"Tidak lama lagi kami akan hadapi peperiksaan SPM jadi digalakkan untuk suntik vaksin. Saya rasa lebih selamat selepas disuntik," katanya.

Bagi Mohd Aiman Shafiq pula, suntikan vaksin ini perlu bagi meningkatkan imuniti tubuh.

"Kami disaran mengambil suntikan ini bagi meningkatkan imuniti tubuh. Ini penting bagi menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Tidak rasa sakit langsung," katanya.

Sebelum ini, data daripada Jabatan Pendidikan Kelantan menunjukkan terdapat lebih 150,000 remaja berusia dari 12 hingga 17 tahun di negeri itu.

Sesi persekolahan dibenarkan bagi negeri yang memasuki Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sementara itu golongan remaja yang tidak bersekolah atau menuntut di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) atau Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) boleh menerima vaksin secara walk-in atau jumpa terus di 156 PPV di seluruh negara bermula Khamis.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dalam satu kenyataan pada Selasa, ibu bapa atau penjaga perlu hadir bersama untuk menandatangani borang kebenaran vaksinasi mereka.

BACA: Golongan remaja boleh terima vaksin COVID-19 secara 'walk-in' bermula Khamis

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi pada Isnin dan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.

Setakat Isnin, sebanyak 5,964 buah sekolah telah berdaftar dengan portal Vaksin-Anak-Ku.