KUALA LUMPUR: Golongan ibu bapa yang enggan membenarkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun menerima vaksin secara tidak langsung menjalankan 'uji kaji' terhadap anak-anak mereka sendiri.

Pakar Perubatan Keluarga dan Naib Presiden Medical Mythbusters Malaysia (M3), Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim berkata, program vaksinasi kepada kanak-kanak yang dilaksanakan kerajaan ketika ini bukan satu bentuk uji kaji.

Hujah Dr Megat Mohamad Amirul Amzar, uji kaji vaksinasi terhadap kanak-kanak telah dijalankan sebelum ia dilulus untuk dilaksanakan.

Program vaksinasi kepada kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun dilaksanakan bagi mencegah COVID-19 yang sedang mengalami peningkatan.

"Kanak-kanak ini kita kena faham, dia membesar manakala orang dewasa tidak membesar.

"Sudahlah kanak-kanak membesar dengan long Covid, kena pula guna ubat steroid, ubat itu perlu untuk rawatan.

"Jadi untuk elakkan perkara-perkara yang boleh memudaratkan, kita pilih pencegahan.

"Pencegahan itu adalah vaksin yang mana ia terbukti selamat, terbukti berkesan, dan sudah banyak dilaksanakan di negara lain.

Program vaksinasi untuk kanak-kanak bukan satu ujikaji

"Ini bukan untuk uji kaji untuk anak-anak kita, vaksin yang akan diberikan telah lepas fasa ketiga.

"Kalau ibu bapa memutuskan tidak mahu memberi vaksin, itu yang sebenarnya 'uji kaji'.

"Mereka cuba nak eksperimen sama ada selamat atau tidak jika anak-anak tidak diberi vaksin. Pada saya, ini ibu bapa yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa yang ragu-ragu terhadap program vaksin untuk kanak-kanak supaya kembali kepada asas bahawa sains itu dinamik.

Dr Megat Amirul Amzar menjelaskan kajian terhadap COVID-19 dan vaksin yang dihasilkan sentiasa dilakukan berdasarkan data-data sedia ada. 

"Kenapa saya katakan data, kerana data itu penting apabila mahu diberi vaksinasi. Apabila kita cuba kira kadar jangkitan, kita kumpul data supaya kita boleh buat keputusan.

"Kita lihat data untuk memastikan adakah keputusan yang dibuat sekarang perlu dikekalkan atau perlu dibuat perubahan dari segi polisi," katanya lagi.

Dr Megat Amirul Amzar menjelaskan, ibu bapa perlu faham bahawa sains sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan semasa dan anak sentiasa ada ilmu baharu.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Tiga Penjuru yang disiarkan di saluran 501 dan astroawani.com pada Khamis.

Dialog Tiga Penjuru: Vaksin Kanak-Kanak | Yakin atau sangsi?