MALAYSIA
'Vape adalah najis!' - Dr Syed Mohamed Aljunid nasihat Pengasas Nanostix cari bisnes lain

Program Dialog Tiga Penjuru pada 24 Julai melibatkan panelis terdiri daripada Syed Mohamed Aljunid (kanan), Shahabudeen (tengah) dan Prof Madya Dr Muralitharan Munisamy, Pengerusi Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (kiri). - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sumbangan industri vape sekitar RM100 juta dalam bentuk cukai dan duti eksais, adalah tidak bermakna, berbanding kos rawatan penyakit berkaitan yang mencecah hingga RM5 bilion, kata Pakar Perubatan Awam, IMU University, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid.
Ringkasan AI
- Pakar Perubatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid menyifatkan industri vape sebagai najis dan tidak wajar dipertahankan atas alasan hak individu atau sumbangan cukai, kerana kos rawatan penyakit berkaitan mencecah RM5 bilion berbanding sumbangan cukai sekitar RM100 juta.
- Beliau turut menegaskan bahawa hak individu tidak boleh mengatasi hak komuniti untuk hidup sihat, serta mengkritik tindakan industri yang didakwa membiayai kajian tidak beretika bagi menyokong penggunaan vape.
- Perdebatan hangat berlaku antara beliau dan Pengarah Nanostix, Shahabudeen Jalil yang mempertahankan industri vape atas dasar realiti teknologi dan hak asasi, serta menolak cadangan pengharaman penuh sebagai tidak logik dan menindas usahawan.
Katanya lagi, alasan kononnya penghisap vape dan perokok mempunyai hak individu, juga tidak sah kerana ia menjejaskan hak majoriti rakyat Malaysia yang inginkan tahap kesihatan yang lebih baik.
“Lebih baik haramkan supaya masyarakat melihat orang memegang vape atau rokok sebagai satu yang najis. Itu yang kita usahakan. Kalau haram, maka tak berani lah mereka menggunakannya secara terang-terangan, dan masyarakat pun akan menolak.
“Kadang-kadang di belakang industri rokok, berikan dana kepada penyelidik yang tidak beretika dalam membuat kajian. Ini kita larang, kita tak benarkan kajian tak ethical dalam FCTC (Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau.
“Penyelidik begini yang mengotorkan keadaan komuniti sehingga mereka hasilkan kajian menyokong penggunaan vape. Di Malaysia sendiri ada industri yang memberi dana penyelidikan kepada pensyarah buat kajian, dan akhirnya akan menyokong industri yang najis ini.
"Ini perkara yang berlaku dan tindakan licik yang dilakukan industri yang tak mahu berpindah membuat perniagaan lebih mulia, tapi masih nak dengan bahan tak baik,” tegasnya lagi.
Program Dialog Tiga Penjuru Astro AWANI yang bersiaran pada 24 Julai itu sedikit hangat apabila berlaku sedikit pertelingkahan antara panelis iaitu Dr Syed Mohamed Aljunid dengan Pengarah Nanostix, Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman.
Ketika membincangkan tentang tajuk tersebut, Shahabudeen menuduh Syed Mohamed Aljunid sebagai ahli akademik yang tidak berpegang kepada realiti dan memetik kajian yang salah tentang kaitan antara vape dan penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Ini pasal hak asasi dan kita punya sebagai usahawan patriotik, kita nak masyarakat harmoni. Tapi masa sama jangan terlalu jauh dari realiti, hidup dalam dunia kita, fantasi kita... mungkin kawan-kawan Prof keluarkan idea yang tak ikut logik akal.
“Realiti perlu difahami dulu mengenai realiti teknologi masa depan, realiti masyarakat, apa masalah dia untuk kita mangsakan peniaga berbanding kita kuatkuasakan undang-undang sedia ada. Kalau kita tak suka undang-undang ni, kita haramkan undang-undang itulah, bukannya kita haramkan orang yang ikut undang-undang. Tak logik!,” tegasnya lagi
Namun Syed Mohamed Aljunid mendakwa, pemain industri seperti Shahabudeen sentiasa menggunakan alasan bahawa mereka membayar cukai, dengan purata RM25 juta setahun kepada kerajaan, sedangkan kos yang ditanggung untuk merawat NCD akibat rokok dan vape, jauh lebih tinggi iaitu RM1.6 bilion.
Tambah beliau lagi, hujah yang mengatakan pemain industri juga membayar cukai untuk ekonomi negara, langsung tidak boleh disamakan dengan potensi kerosakan dan bahaya vape terhadap masyarakat, khususnya terhadap 1.6 juta kanak-kanak di sekolah.
“Hak individu tidak membolehkan kita menidakkan hak komuniti, sebab itu kita tidak mahu mereka menghisap rokok atau vape di ruangan terbuka atau kedai makan dan sebagainya.
"Nak hisap rokok atau vape jangan sampai menyebabkan masyarakat luar menanggung akibat. Individual rights don’t allow you to destroy community’s rights.
“Hujah tentang pembayaran cukai adalah senjata industri, menunjukkan mereka berkontribusi … tetapi akhirnya apa yang berlaku adalah kerosakan dalam masyarakat kita, tahap kesihatan 1.6 juta kanak-kanak sekolah terdedah dengan vape yang menyebabkan masa depan mereka akan lebih kabur,” tegasnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami