MALAYSIA

Vape bukan alat terapi berhenti merokok – Dr Dzulkefly

Khalis Khadir 01/08/2025 | 12:23 MYT
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan yang dikenali sebagai harm reduction itu hanya berkesan di negara-negara yang mempunyai kawalan ketat terhadap vape seperti Australia dan New Zealand. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan, rokok elektronik atau vape tidak sesuai dijadikan kaedah terapi untuk berhenti merokok dalam konteks di negara ini.


Ringkasan AI
  • Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan vape tidak sesuai dijadikan alat untuk berhenti merokok di Malaysia kerana penggunaannya kini tidak terkawal.
  • KKM bimbang vape menjadi punca ketagihan baharu dalam kalangan remaja dan menyifatkan dakwaan vape lebih selamat adalah mengelirukan.
  • KKM akan terus fokus kepada pendidikan kesihatan dan penguatkuasaan Akta 852 untuk kawal penggunaan vape di tempat awam.


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pendekatan yang dikenali sebagai harm reduction itu hanya berkesan di negara-negara yang mempunyai kawalan ketat terhadap vape seperti Australia dan New Zealand.

“Kita tidak boleh guna logik ‘therapeutic harm reduction’ apabila vape sudah terlalu mudah didapati di mana-mana. Di Malaysia, penggunaan vape kini sudah berleluasa secara agresif dan tidak terkawal.

“Vape bukan lagi alat berhenti merokok, tetapi sudah jadi satu produk komersial yang disasarkan kepada golongan muda, termasuk kanak-kanak,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Jumaat.

Menurutnya, KKM bimbang penggunaan vape tanpa kawalan bukan sahaja menggagalkan usaha menghentikan tabiat merokok, malah mewujudkan ketagihan baharu dalam kalangan generasi muda.

Beliau juga memberi amaran bahawa dakwaan sesetengah pihak kononnya vape lebih selamat berbanding rokok konvensional adalah bersifat mengelirukan dan tidak berasas.

Dzulkefly menambah, KKM berulang kali mendedahkan terdapat peningkatan pelajar sekolah yang menggunakan vape, dengan sebahagian daripada mereka dikesan mengalami ketagihan nikotin sebelum mencecah usia 15 tahun.

Beliau turut memetik pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang tidak menyokong penggunaan vape sebagai alat dikatakan kurang mudarat.

Sementara itu, Dr Dzulkefly menegaskan KKM kini memberi fokus kepada penguatkuasaan Akta 852 bagi mengawal penggunaan bahan tembakau dan vape di tempat awam.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak terperdaya dengan iklan atau promosi yang mendakwa vape sebagai alat bantu berhenti merokok, kerana tiada bukti saintifik yang kukuh menyokong dakwaan itu.

“Paling penting sekarang ialah pendidikan kesihatan dan penguatkuasaan. Kita mesti kawal akses, kawal promosi dan lindungi semua pihak daripada ketagihan baharu,” katanya.



#vape #rokok elektronik #alat terapi berhenti merokok #Dzulkefly Ahmad