Garis panduan penggunaan rokok elektronik atau vape perlu diwujudkan bagi mengelakkan penyalahgunaan dadah membabitkan alat ini di kalangan pelajar sekolah.

Presiden Majlis Belia Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Kementerian Pendidikan khususnya perlu memberi penekanan terhadap isu ini dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.

"Perkara ini sangat penting kerana dikhuatiri ada pihak atau pelajar yang mengadunkan dadah-dadah sintetik sehingga menyebabkan kemudaratan terutama sekali generasi muda di negara ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Asia Young Entrepreneur Summit 2015 di MAGIC, di sini, hari ini.

Irmohizam juga berkata, industri vape mampu membantu golongan belia dalam bidang inovasi selain memperbanyakkan lagi usahawan muda di negara ini.

"Antaranya seperti bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) iaitu dengan adanya jaringan francais termasuk dari segi bentuk pengawalan pusat-pusat ini.

"Ia sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan muda di kalangan mereka kerana vape juga dilihat sebagai gajet dan ramai yang teruja untuk membeli pelbagai aksesori untuknya.

"Ia boleh melahirkan industri inovasi dan kreatif di kalangan generasi muda," katanya.