KUALA LUMPUR : Pembiakan varian Delta yang dikatakan merebak menerusi hidung berkemungkinan berpunca akibat perubahan ciri-ciri biologi terhadap vaksin.

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berpendapat, masyarakat tidak mempunyai pilihan lain selain perlu mengamalkan penjagaan SOP.

“Vaksin sedia ada mungkin tidak seperti apa yang kita harapkan sebelum ini kerana sepatutnya ia menghalang virus untuk terus merebak.

“Perubahan terhadap ciri-ciri biologi mungkin menyebabkan perkara seperti itu berlaku, maka langkah terbaik bagi semua pihak adalah untuk terus berjaga-jaga,” katanya kepada Astro AWANI pada Ahad.

Mengulas lanjut, dalam keadaan COVID-19 yang disifatkan semakin mengganas, masyarakat tidak seharusnya lalai dengan faktor kawalan kendiri.

Mengambil contoh negara di Amerika Syarikat yang sebelum ini tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka, namun apabila varian Delta dikesan, langkah itu telah dikuatkuasakan semula.

Tegasnya, jangkitan masih boleh berlaku dengan meluas meskipun seseorang individu telah menerima vaksin berdasarkan beberapa kes yang ditemui.

Beliau dalam masa sama menggalakkan orang ramai agar menjalani saringan kendiri dengan lebih kerap di samping turut mengharapkan agar kerajaan dapat mengurangkan kos bagi menjalani saringan.

“Kalau di negara luar, mereka kerap lakukan saringan kendiri jadi sebelum keluar kemana-mana mereka pastikan diri mereka tidak positif.

“Kita alu-alukan kalau kerajaan ingin kurangkan kos jalani saringan maka mudah untuk orang ramai lakukan pada bila-bila masa,” katanya lagi.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham memaklumkan, terdapat satu kes jangkitan di mana varian itu membiak di dalam hidung individu yang sudah divaksinasi.

Bagaimanapun menurutnya, individu yang divaksin masih dapat dilindungi daripada gejala yang teruk serta kematian.