MALAYSIA

Video tular di stesen minyak Klang: Bukan kes tembak, suspek samun langgar polis

Umavathi Ramayah 13/11/2025 | 09:15 MYT
Hasil semakan mendapati suspek berusia 33 tahun mempunyai 20 rekod jenayah lampau serta lima rekod dadah. - Tangkap layar video tular
KLANG: Polis menafikan dakwaan kononnya berlaku kejadian tembak di sebuah stesen minyak di Persiaran Raja Muda Musa, Klang, Selangor yang tular di media sosial sejak Rabu.


Ringkasan AI
  • Polis menafikan dakwaan tembakan di stesen minyak Klang, mengesahkan kes samun dan langgar anggota polis berlaku di situ.
  • Suspek cuba melarikan diri dari polis selepas kes samun, sehingga terserempak sebuah kereta putih di stesen minyak.
  • Suspek berusia 33 tahun dengan rekod jenayah lampau serta dadah, sedang disiasat di bawah Seksyen 186 dan 307 Kanun Keseksaan.


Sebaliknya, menurut Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, kejadian itu sebenarnya melibatkan kes samun dan langgar anggota polis oleh suspek yang cuba melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang Rabu, sepasukan polis terserempak dengan sebuah kereta Toyota Vios putih yang disyaki terlibat dalam kes samun di Subang Jaya sebelum ini.

"Ketika polis cuba menahan pemandu kereta terbabit di stesen minyak berkenaan, suspek bertindak agresif dengan menolak anggota polis dan melarikan diri melawan arus menuju ke Jalan Besar Persiaran Raja Muda Musa menghala ke Shah Alam,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Ramli memberitahu, suspek kemudian meninggalkan kenderaannya di tepi Jalan Persiaran Sultan Ibrahim sebelum melarikan diri, namun berjaya ditahan di Bandar Bukit Tinggi sekitar jam 12.45 tengah malam Rabu.

Katanya, dalam kejadian itu, seorang anggota polis cedera dan hampir digilis, sementara kereta pasukan turut mengalami kerosakan. Anggota berkenaan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

"Hasil semakan mendapati suspek berusia 33 tahun mempunyai 20 rekod jenayah lampau serta lima rekod dadah," ujar beliau.

Menurut beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Ramli turut menjelaskan objek yang dilihat dalam rakaman video tular itu bukan peluru atau pistol, sebaliknya serpihan kunci yang terdapat pada pinggang anggota polis terbabit.

Polis menyeru orang ramai tidak menularkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan awam, sebaliknya mendapatkan pengesahan daripada sumber rasmi.












#tembak #video tular #samun #Klang