Skip to main content

Malaysia

Video tular lelaki kejar kanak-kanak warga asing rakaman lama - Polis

PDRM
Polis mengesahkan tiga video tular yang memaparkan seorang lelaki mengusik dan mengejar kanak-kanak warga asing di Kampung Losong Masjid, adalah rakaman lama.

KUALA TERENGGANU: Polis mengesahkan tiga video tular yang memaparkan seorang lelaki mengusik dan mengejar kanak-kanak warga asing di Kampung Losong Masjid, di sini adalah rakaman lama.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata hasil pemeriksaan mendapati video itu dirakam antara 28 Mac dan 25 Dis 2024, sebelum dimuat naik melalui aplikasi TikTok untuk tujuan menghasilkan kandungan media sosial semata-mata.

Beliau berkata pihak polis telah mengenal pasti individu terbabit dan hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan bertindak mengejar kanak-kanak itu kerana didakwa sering mengganggu peralatan serta bot miliknya di Jeti Bot Losong Masjid.

"Berdasarkan siasatan awal, seorang lelaki mendakwa dua kanak-kanak warga asing yang menetap di Kampung Losong Masjid sering bermain di kawasan jeti serta mengganggu peralatan serta bot miliknya.

"Lelaki itu telah mengusik dan mengejar kanak-kanak berkenaan dengan tujuan meminta mereka beredar daripada terus bermain di kawasan jeti namun kejadian telah dirakam rakannya yang kemudian dimuat naik melalui TikTok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata individu itu tidak menyangka video berkenaan akan tular dan mengundang pelbagai reaksi serta kecaman daripada orang ramai.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pihaknya telah menasihati individu tersebut agar tidak mengulangi perbuatan sama dan mengingatkan orang awam supaya menggunakan media sosial secara berhemah, bertanggungjawab dan mematuhi undang-undang bagi mengelak timbul fitnah, keresahan atau menjejaskan ketenteraman awam.

Kesalahan penggunaan media sosial, katanya boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000, penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement