KUALA LUMPUR: Polis mengesan seorang lelaki atas kesalahan mengeluarkan kenyataan yang boleh menyebabkan kegentaran awam dan menggugat keamanan negara menerusi  video tular bertajuk 'Racist in vaccine Malaysia'.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata suspek mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut, berbaur perkauman, bersifat jelik terhadap institusi diraja dan kerajaan.

"Pada 25 Jun 2021, suspek telah memuat naik sebuah video bertajuk 'Racist in vaccine Malaysia' melalui akaun Facebook.

"Suspek mendakwa vaksin berkualiti rendah dan tidak berkesan dari China jenama 'Sinovac' diberikan kepada golongan bukan Muslim, manakala, golongan Muslim diberikan vaksin berkualiti tinggi jenama 'Pfizer'," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut.

Mengulas lanjut, katanya siasatan mendapati, sejak 2018 sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka terhadap lelaki berkenaan di bawah akta yang sama dan beberapa seksyen lain.

"Suspek juga akan disiasat di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mungkin menyebabkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain," katanya.

Ketika ini, ujar beliau, polis percaya suspek berada di Jerman berdasarkan semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

"JIM mendapati pergerakan (keluar) terakhir suspek ialah pada 2 November 2017 melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan status pasport (suspek) juga telah dibatalkan pada 25 November 2020," jelasnya.

Beliau dalam masa, meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan dengan suspek untuk tampil membantu siasatan pihak polis.

Abd Jalil turut menyeru orang ramai untuk sentiasa peka terhadap inisiatif vaksinasi yang sedang dijalankan kerajaan ketika ini dan tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tidak sahih.

"Orang ramai turut dinasihatkan agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara" katanya.

Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang sengaja berbuat demikian, tambahnya lagi.