Adakah satu tindakan yang wajar untuk menyorokkan seorang pelajar di dalam sebuah kotak sebagai satu hadiah kejutan?

Viral di media sosial adalah sebuah rakaman video menunjukkan seorang pelajar menyorok di dalam sebuah kotak hadiah semata-mata untuk memberi satu kejutan kepada seorang guru.

Menerusi video viral itu, seorang murid sekolah rendah dilihat dijadikan sebagai ‘alat kejutan’ bagi satu majlis pelancaran dengan menyorokkannya di dalam sebuah kotak yang diikat dengan reben.

Seorang wanita bertudung yang dipercayai guru sekolah itu kemudian menerima hadiah tersebut di majlis perhimpunan, yang dipercayai berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Selepas wanita itu menggunting reben itu, murid berkenaan melonjak dari kotak tersebut dan menyerahkan sekeping kad bertulisan ‘Sasiga’ kepadanya.

Ia jelas bahawa murid berkenaan keluar dari kotak itu dalam keadaan yang berpeluh-peluh.

Video berdurasi 2 minit 48 saat itu di muat naik oleh laman Facebook Sudar Oli Malaysia, pada 18 April lalu, namun mendapat perhatian netizen sejak semalam.

Walaupun idea gimik itu dirancang dengan baik oleh pihak sekolah, tetapi ia mengundang pelbagai kritikan daripada pengguna media sosial.

Netizen melahirkan rasa kecewa atas tindakan pihak sekolah itu yang tidak mengambil kira keselamatan pelajar tersebut.

Menurut mereka, itu adalah satu tindakan yang berbahaya dan ia adalah tanggungjawab pihak sekolah untuk menjaga keselamatan para pelajar.

Bagaimanapun, ibu murid itu kemudian memberitahu bahawa perkara tersebut dilakukan selepas menerima kebenarannya.

“Pihak sekolah meminta kebenaran saya sebelum melakukannya. Tolong jangan memviralkan isu ini kerana ia mengganggu ketenteraman anak saya dan pihak sekolah,” kata ibu murid berkenaan.

Tambahnya, anak dia hanya berada dalam kotak itu untuk tempoh masa yang singkat.

Difahamkan, kotak tersebut turut dilengkapi dengan lubang kecil bagi memberi pengudaraan yang baik.