MALAYSIA
Vietnam janji perkukuh hubungan dengan Malaysia

Vietnam dan Malaysia berkongsi aspirasi yang sama, yang menjadi kunci untuk memajukan hubungan dua hala dan memperkukuh ASEAN.
KUALA LUMPUR: Duta Vietnam ke Malaysia Dinh Ngoc Linh menegaskan komitmen Hanoi untuk memperkukuh hubungan dengan Kuala Lumpur, sambil menyatakan negara itu berbangga menjadi satu-satunya rakan strategik komprehensif Malaysia di Asia Tenggara.
Menurut beliau, November 2024 menandakan detik bersejarah dalam hubungan Vietnam-Malaysia apabila kedua-dua negara bersetuju untuk meningkatkan hubungan ke tahap Rakan Strategik Komprehensif semasa lawatan rasmi Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam ke Malaysia.
Berucap pada majlis resepsi di sini pada Rabu sempena sambutan Hari Kebangsaan Vietnam ke-80, Dinh berkata rangka kerja kerjasama itu telah mewujudkan asas dan hala tuju penting bagi kerjasama dua hala dalam era baharu.
"Kami berbangga menjadi satu-satunya rakan strategik komprehensif Malaysia di Asia Tenggara," katanya.Majlis resepsi itu turut dihadiri Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai tetamu kehormat, bersama para duta, pesuruhjaya tinggi, anggota kor diplomatik, pegawai kanan serta wakil kementerian dan organisasi Malaysia.
Dinh menekankan asas kerjasama yang berlandaskan tonggak utama, antaranya menggalakkan kerjasama politik, pertahanan dan keselamatan; serta meningkatkan kesalinghubungan ekonomi ke arah pembangunan mampan.
Tonggak utama lain termasuk membuka ruang kerjasama dalam bidang baharu seperti transformasi digital, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi baharu; serta meningkatkan penyelarasan dalam isu antarabangsa dan pelbagai hala.
Dinh berkata Vietnam dan Malaysia berkongsi aspirasi yang sama, yang menjadi kunci untuk memajukan hubungan dua hala dan memperkukuh ASEAN.
"Kepentingan dan visi bersama kita terhadap keselamatan, kemakmuran serta pembangunan mampan adalah faktor utama yang mendorong pertumbuhan pesat hubungan dua hala dan sumbangan kepada Komuniti ASEAN yang padu, responsif dan makmur, di tengah-tengah perubahan yang membawa peluang serta cabaran," katanya.
Duta itu turut menzahirkan sokongan kuat Hanoi terhadap Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
"Tahun ini, dengan Malaysia mengambil alih peranan sebagai pengerusi ASEAN di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan," Vietnam percaya ASEAN akan mencapai kemajuan penting ke arah menjadi sebuah komuniti yang makmur, bersatu dan maju.
"Vietnam sangat komited untuk bersama Malaysia dan ASEAN dalam perjalanan ini," katanya.
Mengimbas kembali perjalanan negaranya, Dinh berkata: "Sepanjang 80 tahun lalu, daripada sebuah negara yang tidak bernama di peta dunia, Vietnam telah bangkit menjadi simbol keamanan, kestabilan, hospitaliti serta destinasi bagi pelabur dan pelancong antarabangsa."
Beliau menegaskan bahawa daripada sebuah ekonomi mundur, Vietnam kini muncul antara 40 ekonomi terkemuka dunia.
Pada masa ini, katanya, Vietnam berada di ambang titik perubahan bersejarah, memasuki era baharu yang digelar "Era Kebangkitan Negara."
Menurut beliau, Vietnam juga memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi hijau, transformasi digital, tenaga boleh diperbaharui serta penyesuaian terhadap perubahan iklim.
"Usaha ini adalah sebahagian daripada Pelan Tindakan Kebangsaan mengenai Pertumbuhan Hijau negara serta komitmen kami untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050," katanya.
Memandang ke hadapan, Dinh turut menggariskan matlamat bercita-cita tinggi.
"Dengan sokongan berterusan anda, kami menyasarkan menjelang 2030 untuk berada dalam kelompok tiga teratas Asia Tenggara dalam penyelidikan AI, dalam 30 teratas dunia bagi daya saing digital dan e-kerajaan, serta menjadi pusat kepada syarikat teknologi bertaraf dunia.
"Menjelang 2045, kami membayangkan Vietnam sebagai hab inovasi serantau dan global yang terkemuka, antara 30 teratas dunia," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami