KUALA LUMPUR: Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan dan Berjaya Land Berhad menuntut permohonan maaf secara terbuka dan pampasan ganti rugi sebanyak RM200 juta daripada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, susulan kenyataan berunsur fitnah dan tidak benar mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Sanusi didakwa menyampaikan ucapan yang berbaur politik, fitnah, palsu, tidak berasas dan tanpa bukti berkaitan dengan Projek SM, semasa acara jelajah Perikatan Nasional, pada 2 Ogos lalu.

Satu surat tuntutan melalui firma guaman yang mewakili Vincent dan Berjaya Land, telah dikemukakan kepada Sanusi pada 5 Ogos lalu.

Satu kenyataan media oleh Berjaya Land memaklumkan, tindakan undang-undang akan diambil jika pihak Sanusi gagal mematuhi tuntutan yang dikemukakan sebelum 8 Ogos.

Pada masa yang sama, Vincent dan Berjaya Land juga telah membuat laporan polis terhadap Sanusi serta beberapa blogger iaitu Murray Hunter, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, dan Raja Petra Kamarudin atas penerbitan kenyataan berunsur fitnah berhubung Projek SMG.

"Kenyataan-kenyataan fitnah ini telah mencermarkan integriti, reputasi dan imej saya serta Berjaya Land.

"Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ini telah menimbulkan keraguan dan mencetuskan syak wasangka tanpa sebab mengenai usaha perniagaan serta inisiatif kedermawanan yang sah.

“Kami ingin menyampaikan mesej yang jelas bahawa sesiapa yang membuat sebarang kenyataan yang berbaur palsu dan mencemarkan imej kami tidak akan dipandang ringan dan kami ingin pihak yang terlibat bertanggungjawab atas tindakan mereka,"kata Vincent.