NATIONAL
Visi Komuniti ASEAN 2045, indikator pengukuhan ekonomi

Pelan Strategik AEC yang menjadi sebahagian daripada Visi Komuniti ASEAN 2045 ini dijangka membuka peluang untuk memperkukuh kedudukan ekonomi ASEAN serta memperdalam integrasi ekonomi serantau. - Foto Facebook Tengku Zafrul
KUALA LUMPUR: Tahun 2025 menandakan detik penting buat ASEAN, genap sedekad sejak penubuhan rasmi Komuniti ASEAN, satu usaha besar yang menyatukan 10 negara di bawah visi bersama demi keamanan, kemakmuran dan kerjasama serantau.
Ringkasan AI
- ASEAN bakal meluluskan Visi Komuniti ASEAN 2045 pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 sebagai hala tuju baharu rantau ini selepas sedekad penubuhan Komuniti ASEAN.
- Visi ini menyasarkan integrasi serantau yang lebih kukuh dalam aspek politik, ekonomi, dan sosial, dengan penekanan terhadap kelestarian, pendigitalan dan pembangunan inklusif.
- Malaysia dijangka meraih manfaat besar, termasuk dalam perdagangan, pelaburan, serta pembangunan kemahiran sejajar dengan matlamat Kerangka Ekonomi MADANI.
Ia sebuah kerangka strategik jangka panjang yang akan menentukan hala tuju ASEAN untuk dua dekad akan datang.
Visi ini menggantikan Visi Komuniti ASEAN 2025 yang turut diterima pakai di Kuala Lumpur pada tahun 2015.
Dokumen itu menjadi asas kepada integrasi serantau merentasi tiga tonggak utama iaitu politik keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.
Visi 2045 ini memperkukuh asas tersebut dengan aspirasi yang lebih tinggi.
Ia mengulangi komitmen politik negara-negara ASEAN untuk membina rantau yang aman, stabil, selamat, makmur, inklusif, berasaskan undang-undang serta berorientasi dan berpusatkan rakyat.
Ia bukan sekadar dokumen masa hadapan, tetapi satu pengesahan bahawa ASEAN bersedia menghadapi cabaran jangka panjang seperti perubahan iklim dan gangguan digital, sambil mengekalkan prinsip kepimpinan kolektif dan semangat serantau.
Pada Jumaat, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bersama MITI dan Sekretariat ASEAN mengadakan taklimat tertutup bersama media berkenaan visi tersebut di bawah tonggak ekonomi, dengan perinciannya akan dijelaskan semasa sidang kemuncak nanti.
Namun, Pelan Strategik AEC yang menjadi sebahagian daripada Visi Komuniti ASEAN 2045 ini dijangka membuka peluang untuk memperkukuh kedudukan ekonomi ASEAN serta memperdalam integrasi ekonomi serantau.
Ini akan membawa manfaat ketara, pengukuhan dagangan dan pelaburan, sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengurangan halangan perdagangan merentasi sempadan.
Pengeksport, pengilang dan inovator Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada ekonomi ASEAN yang lebih terhubung dan berdaya saing, manakala keyakinan pelabur terhadap kedudukan Malaysia di rantau ini juga dijangka meningkat.
Visi ini turut selari dengan keutamaan strategik negara di bawah Kerangka Ekonomi MADANI, terutama dalam aspek pendigitalan, pertumbuhan hijau dan pembangunan mampan.
Ia menyokong sasaran nasional melalui inisiatif serantau dalam ekonomi digital, ekonomi kitaran dan kelestarian.
Sudah tentu, ramai menantikan bagaimana visi ini membawa peluang pembangunan kemahiran, mobiliti merentas negara serta penyesuaian yang lebih baik antara sistem pendidikan dan keperluan pasaran kerja bagi memastikan rakyat kita bersedia menghadapi masa depan ASEAN yang semakin dinamik.
Ketika ASEAN melangkah ke arah 2045, visi bersama ini bukan sahaja mencerminkan hala tuju rantau ini, tetapi juga sejajar dengan aspirasi Malaysia untuk masa depan yang inovatif, lestari dan inklusif buat semua.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami