MELAKA: Jabatan Kesihatan Melaka mengesan satu wabak pertussis atau batuk kokol melibatkan empat individu sekeluarga yang tinggal di sebuah rumah di Alor Gajah pada 27 Julai lepas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata kes pertama wabak itu melibatkan seorang bayi berumur 40 hari yang masih belum layak menerima imunisasi DTAP-IPV-Hep B-Hib.

Beliau berkata wabak berkenaan kemudian menular dalam kalangan ahli keluarga lain yang tinggal dalam rumah itu membabitkan bapa bayi berusia 29 tahun, kakak (sembilan tahun) dan bapa saudara (32 tahun).

"Empat individu yang dijangkiti batuk kokol itu tinggal bersama 12 lagi ahli keluarga yang lain dan kesemua mereka telah diberikan rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

"Sebagai respons pada wabak pertussis tersebut, Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah telah menjalankan aktiviti pengesanan kes secara aktif dalam kalangan kontak rapat yang dikenal pasti iaitu kontak rapat keluarga, rakan sekolah dan sekitar kawasan kediaman kes," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua kontak rapat yang bergejala diberikan rawatan prophlaxis dan pengambilan sampel akan dilakukan, manakala kanak-kanak tercicir imunisasi yang ditemui semasa aktiviti pengesanan kes tersebut akan diberikan imunisasi pertussis.

Katanya pendidikan kesihatan menerusi ceramah, edaran risalah dan poster juga dilaksanakan sepanjang aktiviti pengesanan kontak rapat.

Dalam pada itu, Ngwe berkata sebanyak 10 kes batuk kokol melibatkan tiga wabak dalam kalangan ahli keluarga dilaporkan di Melaka dalam tempoh 1 Jan hingga 30 Julai tahun ini, berbanding sifar kes atau wabak dilaporkan dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata daripada jumlah itu, empat kes atau 40 peratus melibatkan bayi berumur bawah 12 bulan dan mereka merupakan kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi.

Pertussis atau batuk kokol adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria 'bordetella pertussis' yang menjangkiti mulut, hidung dan tekak dan tersebar melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk.

Bayi dan kanak-kanak yang tidak mendapat imunisasi lengkap adalah golongan yang paling berisiko tinggi untuk dijangkiti, namun ia juga boleh menjangkiti semua orang tanpa mengira usia terutama golongan rentan dan rendah imuniti.

Gejala lazim pertussis adalah batuk berpanjangan dalam tempoh satu hingga dua minggu dan ia boleh berlarutan sehingga dua bulan.

-- BERNAMA