KUALA LUMPUR: Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menasihatkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar hanya membuat kenyataan perkara-perkara yang diketahui sahaja.

Mohamed Nazri memberikan nasihat tersebut susulan dakwaan Wan Ahmad Fayhsal bahawa demarche (tata tindak) daripada pihak Amerika Syarikat terhadap Malaysia bukan bermaksud ugutan.

Tegas Mohamed Nazri, Wan Ahmad Fayhsal perlu memahami sama ada demarche (tata tindak) itu satu ugutan atau tidak bergantung kepada isinya.

"Jika tata tindak itu bersifat umum boleh lah dia nak kata bahawa ia bukan satu ugutan.

"Tetapi yang bercakap dengan pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat itu saya maka saya lebih memahami isi kandungannya.

"Saya nak bagitahu dia bahawa apa yang disebut oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat itu benar belaka.

"Jadi, kalau Wan Ahmad Fayhsal ini tidak tahu lebih baik jangan bercakap," katanya kepada Astro AWANI.

Mohamed Nazri juga menjelaskan memang benar pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap kenyataan-kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengecam Israel dan melabelkan rejim Zionis itu sebagai pengganas.

Malah beliau menegaskan, pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat meminta agar Malaysia membuat kenyataan turut bersimpati terhadap Israel.

"Saya tegaskan kepada wakil Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa tidak mungkin sama sekali Malaysia akan bersimpati kepada Israel.

"Dan saya nyatakan bahawa Malaysia tidak akan tunduk terhadap sebarang tekanan semata-mata kerana menyokong perjuangan Palestin.

"Saya nak beritahu Wah Ahmad Fayhsal bahawa saya bercakap perkara ini di bumi Amerika Syarikat yang menyokong Israel bukan di Machang," katanya lagi.

Anwar dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa mendedahkan, Amerika Syarikat telah tiga kali menekan Malaysia untuk menimbang semula pendirian terhadap Hamas sebagai 'pengganas'.

Sementara itu mengulas dakwaan Wan Ahmad Fayhsal bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad lebih tegas berbanding Anwar, Nazri menjelaskan semua perdana menteri mengecam tindakan Israel terhadap Palestin.

"Saya sertai kabinet sejak zaman Dr Mahathir dan memang semua perdana menteri menyatakan pendirian Malaysia berhubung isu Palestin.

"Tetapi dalam ingatan saya belum pernah lagi ada demarche daripada pihak Amerika Syarikat terhadap Malaysia.

"Pada saya ia bukan satu perkara yang boleh dianggap remeh, bukan perkara yang boleh dibuat sembang di kedai kopi di Machang.

"Dia kena ingat sudah ada kes ejen Mossad menyusup masuk ke negara kita dan membunuh wakil Hamas.

"Jadi kena ingat benda ini bukan main-main dan sekadar nak cakap untuk dapat sokongan semata-mata.

"Saya bukan tidak boleh berbeza pandangan tetapi dalam isu ini sepatutnya kita umat Islam di Malaysia menunjukkan bahawa kita bersatu padu mempertahankan Palestin dan Al Aqsa," katanya.