KUALA LUMPUR: Malaysia masih perlu mengenakan kawalan ke atas kandungan media namun secara minimum.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Adnan Pitchan berkata, tidak ada satu negara pun yang memberi kebebasan mutlak kepada media.

Katanya, di Malaysia beberapa akta seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 digubal bagi membuat kawalan ke atas media dan kandungan media.

"Sudah tentu ia menjadi perdebatan antara rakyat dan ahli akademik mengenai kerelevanan kewujudan akta ini pada era moden ini di mana majoriti rakyat kita boleh dikatakan celik IT, mereka tahu menggunakan sosial media serta tahu mengenai apa yang berlaku di sekeliling kita.

"Sudah tentu kita sebagai rakyat pun tidak suka pihak kerajaan membuat kawalan ke atas media.

"Namun demikian, kita perlu meletakkan agenda keselamatan negara sebagai keutamaaan kerana di Malaysia kita mempunyai penduduk yang berbilang kaum," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Kata Muhammad Adnan, kerajaan perlu melakukan kawalan bagi mengelakkan isu-isu yang sensitif diketengahan sesuka hati.

Beliau menjelaskan, undang-undang itu penting dalam memastikan rakyat menggunakan media secara matang dan bertanggungjawab.

Beliau berpendapat, akta-akta itu masih relevan dan diperlukan namun apa yang perlu dilakukan adalah penambaikan serta dipinda selari dengan peredaran zaman.

"Dalam konteks ini, kita perlukan keadilan yang sama rata, kita tidak mahu ada isu 'kayangan' dan rakyat biasa.

"Ingin saya tegaskan, undang-undang adalah sama rata kepada semua rakyat. Kita gubal undang-undang yang 'cantik' namun hanya terpakai kepada golongan tertentu, maka tidak perlulah akta itu.

"Misalnya Akta Hasutan, bila rakyat membuat kenyataan di sosial media terus berlakunya tangkapan dan sebagai. Tapi bila melibatkan orang kenamaan yang kesalahannya sama, tapi dari segi sabitan dan prosudernya seolah-olah akta itu tidak wujud.

"Sebagai seorang ahli akademik saya kena bersikap jujur dan tidak boleh berpihak kepada mana-mana pihak," jelasnya.

Beliau mengulas mengenai Indeks Kebebasan Media Global 2022, yang dikeluarkan oleh Reporters Without Borders (RSF), meletakkan Malaysia di tangga ke-113 daripada keseluruhan 180 negara.

Berdasarkan indeks tersebut, Malaysia berjaya memperbaiki kedudukannya tahun ini, selepas mencatatkan kedudukan terburuk tahun lepas, iaitu di tangga ke-119, penurunan sebanyak 18 anak tangga.