Dewan Rakyat bincang isu keselamatan pelajar di sekolah, penularan kes influenza hari ini

Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan Peringkat Dasar diadakan selama lapan hari bermula 13 hingga 28 Okt ini manakala perbahasan Peringkat Jawatankuasa bermula 5 hingga 27 Nov.
KUALA LUMPUR: Isu keselamatan pelajar di sekolah dan penularan kes influenza di institusi pendidikan pada masa ini antara perkara menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) meminta Menteri Kesihatan menyatakan setakat mana keseriusan kes influenza di seluruh negara serta kesan kepada institusi pendidikan, pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Beliau juga ingin tahu langkah Kementerian Kesihatan untuk mengatasinya memandangkan kes terbabit telah merebak ke institusi pendidikan termasuk prasekolah hingga institusi pendidikan tinggi.
Pada sesi sama, Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengajukan soalan kepada Menteri Pendidikan mengenai tindakan segera dan menyeluruh yang telah dan akan diambil bagi memastikan insiden tragis seperti kes pelajar dirogol dalam kelas tidak berulang.Beliau ingin tahu langkah yang dilaksanakan dari segi keselamatan fizikal di sekolah, pengawasan guru, mekanisme aduan yang efektif serta sokongan kepada mangsa dari aspek psikososial dan perundangan.
Sementara itu pada sesi soal jawab lisan, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah tegas kerajaan dalam memerangi jenayah penipuan dalam talian yang menunjukkan trend peningkatan amat membimbangkan.
Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) pula mahu Menteri Pengangkutan menyatakan jumlah keuntungan atau kerugian yang dicatatkan oleh Prasarana Malaysia Berhad selaku pengendali sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Malaysia serta jumlah peruntukan subsidi kerajaan bagi memastikan perkhidmatan itu dapat terus beroperasi tanpa membebankan pengguna.
Selain itu, Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengajukan soalan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengenai langkah kementerian bagi mengawal dan mengurangkan populasi anjing liar yang mengancam keselamatan serta ketenteraman orang awam khususnya kanak-kanak.
Persidangan kemudian diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2026) yang memasuki hari keempat, selepas dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas.
Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan Peringkat Dasar diadakan selama lapan hari bermula 13 hingga 28 Okt ini manakala perbahasan Peringkat Jawatankuasa bermula 5 hingga 27 Nov.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami