Walaupun jasad 'hilang', tapi Jho Low tetap beraksi

Harits Asyraf Hasnan
September 17, 2018 10:31 MYT
Menerusi laman web peribadinya yang dilancarkan hari ini, Jho Low ditafsirkan sebagai "dermawan global, pelabur dan usahawan." - Gambar fail
Walaupun tidak kelihatan di tempat awam, namun individu yang didakwa mencuri berbilion wang dana pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho, tampil di alam maya.
Beliau yang dikenali sebagai Jho Low akui tidak bersalah menerusi laman web miliknya yang dilancarkan hari ini.
"Jika saya tahu, mungkin saya akan membuat sesuatu secara berbeza, sama seperti orang muda yang lain, tetapi sebarang kesilapan yang saya lakukan tidak membolehkan dakwaan yang merosakkan dibuat terhadap saya," katanya dalam satu surat yang ditandatanganinya di laman web berkenaan.
"Biar saya jelaskan: Saya tidak bersalah," tambahnya.
Menerusi laman web tersebut, Low ditafsirkan sebagai 'dermawan global, pelabur dan usahawan' dengan lokasinya yang masih belum diketahui.
"Boneka saya diarak di jalan-jalan di Kuala Lumpur dan gambar ketika usia muda terpampang di tabloid di seluruh dunia.
"Saya hanya meminta semua orang (iaitu) mahkamah, pendakwa raya dan orang awam untuk berfikiran terbuka sehingga semua bukti menjelma," katanya.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini telah meminta beliau untuk kembali ke Malaysia bagi membantu siasatan atas dakwan pengubahan wang haram.
BACA: Polis tahu lokasi Jho Low
BACA: Jho Low hadiahkan Kim Kardashian Ferrari bernilai RM1.3 juta
BACA: Jho Low cuba halang penerbitan buku dedah skandal 1MDB - Clare
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Jho Low #kerajaan #Mahathir Mohamad #pelaburan #Perdana Menteri #siasatan #usahawan