Kerelaan dalam perkahwinan perlu dilihat dalam konteks lebih besar supaya ia tidak disalah tafsir, kata Mufti Negeri Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu kenyataan di Facebook.

“Jelas dalil-dalil mensyaratkan kerelaan wanita dalam perkahwinan. Kerelaan itu hendaklah dilihat dalam konteks yang sebenar pada tempat dan waktunya. Anak perempuan yang bawah umur, yang tidak memahami realiti apa yang dia persetujui, tidak boleh dianggap rela.

Tambah Mohd Asri anak perempuan dalam dunia moden kini memerlukan pendidikan dan pelajaran secukupnya bagi berdepan realiti dan cabaran kehidupan semasa.

“Jika dia masih lagi di sekolah rendah, bagaimanakah dia akan meneruskan dunia pelajarannya jika dia berkahwin di peringkat itu.” Katanya.

Tambahnya Wali yang menikahkan anak kerana kemiskinan yang mana beliau mahu memperolehi keuntungan tertenu, tidak layak menjadi wali.

“Wali itu bermaksud pelindung. Dia sudah tidak menjadi pelindung. Bahkan dia sudah menjadi pemangsa.” Katanya ketika mengulas isu perkahwinan lelaki berusia 41 tahun dan kanak-kanak 11 tahun.

Tambah Mohd Asri meskipun Mazhab Syafii membenarkan perkahwinan paksa tanpa kerelaan anak perempuan, namun ia perlu diimbangi dengan pandangan mazhab lain.

“Dalam Mazhab al-Syafi’i secara khususnya, bapa dan datuk merupakan wali mujbir yang bermaksud wali (pelindung) yang boleh memaksa anak perempuan berkahwin sekalipun tanpa kerelaan anak perempuan berkenaan.

“Atas pegangan Mazhab Syafii, kita mendapati banyak kes-kes paksaan kahwin dalam masyarakat Nusantara terutama pada zaman dahulu yang mana wanita tidak banyak mempunyai pilihan.

“Kita menghormati ketokohan al-Imam al-Syafii r.h (meninggal 204H) sebagai tokoh ilmuwan yang agung. Kita juga menghormati Mazhab Syafii sebagai mazhab yang diamalkan oleh majoriti penduduk di negara ini,

“NAMUN seperti yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh fanatik tanpa menilai semula pandangan-pandangan yang diberikan oleh mana-mana mazhab.

“Masyarakat moden khususnya, tidak boleh terikat dengan hanya satu mazhab, sebaliknya hendaklah melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas.


Artikel berkaitan:

BACA: 'Siapa nak lindungi hak dia?' - Aktivis sosial

BACA: Nikah budak 11 tahun: Pasangan diminta hadir di mahkamah

BACA: Perkahwinan budak 11 tahun tidak sah - Dr Wan Azizah

BACA: Tiada unsur jenayah dalam perkahwinan budak 11 tahun di Gua Musang - Polis