KUALA LUMPUR: Selepas usulnya berhubung lawatan rasmi Perdana Menteri ke Arab Saudi ditolak, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) sekali lagi membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, beliau sudah menerima jawapan balas daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan meminta cadangan saluran lain untuk beliau mendapat penjelasan berhubung isu tersebut.

“Soalan saya pagi tadi kepada Perdana Menteri juga ditolak. Saya nak minta petua, apakah saluran lain yang boleh saya bawa untuk Kementerian Luar Negeri menjelaskan kepada kami apa yang berlaku di Arab Saudi pada minggu lalu?

“Mohon petua daripada Yang Dipertua,” katanya.

Timbalan Speaker Datuk Ramli Md Nor kemudian meminta sedikit masa untuk memastikan keputusannya sebelum menyatakan Wan Ahmad Fayhsal boleh mengusulkan rasa tidak puas hati dengan perkara tersebut.

Begitupun, tegas Ramli, semua keputusan akhir adalah terletak kepada Speaker Dewan.

Susulan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dibangkitkan Wan Ahmad Fayhsal, Ramli menasihatkan semua Ahli Parlimen untuk menguasai perkara itu.

BACA: "Kalau ikut peraturan, tiada orang luar panggil kita zoo" - Timbalan Speaker 

BACA: Dilabel zoo, Timbalan Speaker tegur Ahli Parlimen jaga kelakuan

Beliau sekali lagi mengingatkan para wakil rakyat agar bertindak dengan berhemah supaya Dewan Rakyat tidak lagi dilabel sebagai zoo.

“Yang Berhormat dalam Dewan ini, semua sekali, benda ini (peraturan mesyuarat) sepatutnya jadi makan minum kita dalam Dewan.

“Tak perlu banyak, kuasai (peraturan) 35, 36, 37, 41, 42, 43, 44, 98, 99A. Yang Berhormat yang baharu, itulah (ambil maklum).

“Tapi kadang-kadang, manusia ni, benda dah tahu, kata tak tahu. Saya faham, ini politik, (sidang Dewan Rakyat) ditayangkan (secara) langsung, jadi berhad-hadlah.

“Jangan sampai kita, seperti saya kata dulu, (menyebabkan) di luar sana mengenali Dewan ini sebagai zoo. Itu menyedihkan,” katanya.