Wan Azizah berjanji keadilan untuk Muhammad Adib akan terbela

Astro Awani
Disember 17, 2018 15:41 MYT
Dr Wan Azizah mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tetap tenang dan tidak bertindak dengan emosi. - BERNAMA/Fail
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berjanji keadilan untuk anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan terbela.
Beliau turut merasa hiba atas kematian Muhammad Adib yang sebelum ini parah dipukul ketika insiden di Kuil Sri Maha Mariamman bulan lalu.
Dalam satu kenyataan, Dr Wan Azizah mendoakan agar roh Allahyarham Muhammad Adib dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.
"Kita harus ingat bahawa ini bukan isu agama mahupun soal perkauman, akan tetapi ini merupakan perbuatan jenayah yang dilakukan oleh penjenayah yang tidak berperikemanusiaan.
"Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia agar tetap tenang dan tidak bertindak dengan emosi.
"Seluruh rakyat Malaysia berkabung kerana jenayah kejam ini tetapi biarlah proses undang-undang berjalan dengan lancar. Janji saya, keadilan akan terbela," katanya.
Muhammad Adib dipindahkan ke IJN selepas mengalami kecederaan parah akibat diserang susulan insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada 27 Nov lalu.
Atas permintaan keluarga, jenazah Muhammad Adib akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah malam ini untuk dikebumikan.
Pada Ahad, IJN melalui satu kenyataan memaklumkan kesiahatan Muhammad Adib kembali merosot dengan fungsi paru-parunya yang menurun tahapnya.
BACA: Muhammad Adib meninggal dunia
BACA: Saya amat sedih... - Tun Mahathir
BACA: Ya Allah, tempatkan Perwira Adib bersama orang beriman - Syed Saddiq
BACA: Muhammad Adib sudah tiada, MB Selangor harap penjenayah dihukum sekeras-kerasnya
BACA: 'Terkorbannya seorang wira demi negara' - Netizen
#bomba #meninggal dunia #Muhammad Adib Mohd Kassim #Wan Azizah Wan Ismail