SHAH ALAM: Bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesahkan bahawa beliau diminta hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu, bagi menghadapi kes baharu membabitkan pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA).

Menerusi kenyataan di laman Facebook miliknya, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu menyatakan pihaknya menerima arahan supaya hadir pada jam 8.30 pagi.

Bagaimanapun beliau berkata, butiran mengenai pertuduhan baharu itu masih belum diketahui.

"Saya akan hadir untuk mempertahankan diri dan yakin mahkamah tempat terbaik untuk mendapatkan keadilan.

"Saya berterima kasih kepada pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) yang menyoal siasat saya dengan berhemah," katanya.

Sementara itu, peguam, Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Sebelum ini, pemimpin politik itu berdepan pertuduhan kes meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian