KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan memberitahu Dewan Rakyat bahawa beliau terus-menerus 'dikacau ganggu' oleh pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Parlimen daripada blok pembangkang itu menyifatkan kacau ganggu berkenaan sebagai satu bentuk tekanan yang tidak wajar dan didakwa berbahaya bagi imuniti seorang Ahli Parlimen.

Jelas Wan Saiful, gangguan tersebut diterima selepas kenyataannya ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata perkara tersebut telah diselesaikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

"Saya baru dapat satu notis untuk dirakam percakapan mengenai apa yang saya sebut dalam dewan yang mulia ini.

"Saya mengambil pandangan bahawa apa yang saya sebut dan setelah diselesaikan oleh Speaker (Johari) tidak sesiapa yang boleh menganggu imuniti yang disebut dalam Seksyen 7, Akta 347 dan pada masa yang sama tidak wajar untuk menghina keputusan Speaker dan dewan ini dalam perkara yang telah selesai.

"Apabila ada kacau ganggu begini, bagi saya ini tekanan yang tidak wajar yang diberikan kepada Ahli-ahli Parlimen dalam hal sedemikian.

"Saya nak tarik perhatian bahawa ada pelanggaran dan saya rasa tindakan yang diambil oleh SPRM ini satu tindakan yang melanggar, bukan sahaja imuniti Ahli Parlimen, tetapi juga melanggar keputusan Speaker dan dewan yang telah dibuat.

"Saya rasa ini benda yang tidak adil dan berbahaya bagi imuniti kita sebagai Ahli Parlimen," katanya ketika membangkitkan perkara tersebut di Dewan Rakyat pada Khamis.

Mengulas perkara tersebut, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor berkata mengikut Peraturan Mesyuarat 43, sebarang keputusan yang dibuat oleh Speaker adalah muktamad.

Mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan, Ramli berpandangan, apa-apa yang diperkatakan dalam Dewan Rakyat tidak tertakluk kepada undang-undang sivil, melainkan jika ia diulang di luar Parlimen.

"Pada pandangan saya, bila keluar dewan ini (Wan Saiful) buat satu laporan polis supaya siasatan boleh dilaksanakan atas kuasa-kuasa yang dijalankan oleh SPRM dan pemutusnya adalah Perkara 145, (iaitu) Peguam Negara.

"Dalam dewan ini anda kuat (mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan)... Buat laporan polis supaya polis boleh  siasat sama ada (berlaku) penyalahgunaan (kuasa) oleh SPRM, manakala SPRM dari aspek bidang kuasa (menjalankan siasatan) di bawah Akta SPRM," ujar beliau.

Wan Saiful kemudian berkata beliau akan merujuk peguamnya berhubung perkara tersebut.

Ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja, Wan Saiful didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

Susulan itu, Johari mengarahkan Wan Saiful memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.