KUANTAN: Seorang guru wanita berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM190,000 lesap akibat diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon pada Ogos lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 36 tahun itu pada mulanya telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai kakitangan syarikat penghantar barang dan polis.

Beliau berkata mangsa diberitahu oleh suspek yang dia terlibat dalam kes jenayah pengubahan wang haram sebelum diminta memasukkan wang sebanyak RM20,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek bagi tujuan menyelesaikan kes berkenaan.

"Selain itu, mangsa juga diminta memberikan gambar kad bank dan nombor kod pengesahan transaksi (TAC) sebelum menyedari wang berjumlah RM170,000 daripada akaun miliknya dipindahkan ke akaun lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa yang berasa ditipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA