BUKIT MERTAJAM: Gara-gara terperdaya dengan sindiket 'Love Scam', seorang ibu tunggal  berputih mata apabila kesemua  simpanannya termasuk wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk persaraannya berjumlah RM927,400 lesap.

Mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta itu dikatakan terjerat dengan penipuan tersebut selepas berkenalan seorang lelaki dikenali sebagai William Schang yang mengaku tinggal di Amerika Syarikat.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, mangsa yang berusia 58 tahun dikatakan berkenalan dengan suspek melalui aplikasi media sosial sebelum kedua-duanya bertukar nombor telefon

“Dalam tempoh perkenalan lebih dua tahun sejak April 2019, suspek telah meminjam wang daripada mangsa  bagi menjalankan urusan perniagaan gali petrol di Amerika Syarikat,” kata Shafee dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, wanita itu yang terpedaya dengan janji lelaki tersebut untuk memulangkan wangnya telah melakukan 50 transaksi sejak 9 April 2019 hingga Februari lepas ke lima akaun tempatan membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM927,400.

“Mangsa menyedari ditipu apabila gagal menghubungi lelaki tersebut setelah memasukkan semua wangnya sebelum bertindak membuat laporan polis,” jelas Shafee.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan keldai akaun untuk setiap transaksi malah semakan mendapati empat daripada lima nombor akaun itu mempunyai laporan bersangkut di beberapa negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.