IPOH: Wang simpanan dalam Tabung Haji dan Amanah Saham milik seorang pekerja swasta di Ipoh lesap selepas mengalami kerugian berjumlah RM473,225 apabila menjadi mangsa phone scam yang menyamar sebagai pegawai syarikat insurans, pegawai polis dan peguam.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata wanita berusia 55 tahun yang berasal dari Bercham di sini membuat laporan polis semalam setelah menyedari dirinya telah diperdaya oleh sindiket berkenaan sejak Januari lepas.

"Mangsa menerima panggilan telefon pada 25 Januari oleh individu yang mendakwa sebagai pegawai syarikat insurans dan bertanya kepada mangsa sama ada telah menerima wang tuntutan insurans sebanyak RM78,000.

"Kira-kira seminggu kemudian, mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon kononnya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya yang meminta mangsa membuat laporan untuk menuntut wang insurans terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata menerusi perbualan telefon itu, mangsa disambungkan talian dengan seorang lagi suspek yang menyamar sebagai peguam dan memaklumkan bahawa mangsa terlibat dalam satu kes pengubahan wang haram.

Kata Mohd Yusri, mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon pada 3 Februari lepas daripada dua suspek yang mengajar mangsa untuk membuat pemindahan wang dan atas arahan kedua-dua suspek itu, mangsa telah membuat pengeluaran wang daripada Amanah Saham dan Tabung Haji berjumlah RM458,000 untuk dimasukkan ke dalam akaun banknya.

"Selain itu, mangsa juga telah membuat lima transaksi kemasukan wang sebanyak RM35,000 ke dalam tiga akaun bank milik individu lain atas arahan daripada seorang suspek berkenaan kononnya untuk membayar kompaun atas kesalahan jenayah yang dilakukan mangsa.

"Pada 25 Ogos lepas, mangsa menerima notis pemakluman daripada pihak bank bahawa terdapat 17 transaksi berjumlah RM438,225 daripada akaun bank mangsa ke beberapa akaun bank yang tidak dikenali sepanjang tempoh 9 Februari hingga 28 Mac lepas," katanya.

Mohd Yusri berkata kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA