KUALA LUMPUR: Kekecohan sekali lagi berlaku di Dewan Rakyat apabila Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman melabelkan segelintir Ahli Parlimen wanita daripada DAP sebagai 'mulut cabul' dan berperangai tidak senonoh. 

Ahli Parlimen Pasir Salak membuat tuduhan sebagai membidas Teo Nie Ching (PH-Kulai), yang mendakwa beliau dan dua lagi Ahli Parlimen kerajaan sering membuat kenyataan seksis kepada wakil rakyat wanita di dalam Dewan Rakyat.

"Saya nak beritahu, mereka tak kenal tiga orang ini? Bagaimana kita menjaga maruah wanita... bagaimana kita menolong wanita. Anda tidak tahu. Anda boleh tanya (golongan) wanita?

"Apa motif sebut nama tiga ahli Parlimen ini semalam, yang menuduh tidak hormat wanita... tidak menjaga maruah wanita? Apa tujuan mereka? Anda cuba merosakkan imej kita. Saya nak jelaskan di sini, jangan senang-senang tuduh. Kita banyak bantu wanita..," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Tajuddin berkata demikian ketika mencelah perbahasan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual.

Semalam, Nie Ching ketika membahaskan RUU tersebut mendakwa sekurang-kurangnya tiga Ahli Parlimen iaitu Kinabatangan (Datuk Seri Bung Moktar), Pasir Salak dan Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim) sering membuat kenyataan berbaur seksis kepada wakil rakyat wanita di dalam Dewan Rakyat.

Foto: Jabatan Penerangan

Bagaimanapun, tindakan Tajuddin itu mendapat kritikan keras daripada beberapa ahli Parlimen pembangkang yang menyifatkan ia sebagai tidak wajar.

Rata-rata mereka menggesa agar Tajuddin membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan tesrebut.

"Saya minta kenyataan itu ditarik balik. Itu tidak sepatutnya berlaku...," kata RSN Rayer (PH-Jelutong).

Sementara itu, Cha Kee Chin (PH-Rasah) menambah Dewan Rakyat tidak seharusnya membenarkan Tajuddin berperangai sedemikian.

"Kita tak boleh benarkan dia berperangai sebegini... Datuk (timbalan) Speaker kena ambil tindakan," katanya.

"Perangai senonoh atau tak senonoh tiada kaitan dengan (status) janda. Kenapa Pasir Salak masih tak faham kesilapan sendiri," bidas Nie Ching pula. 

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon kemudian mengeluarkan amaran kepada Tajuddin, dan dan meminta Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati supaya mengemukakan usul.