KUALA LUMPUR:Seorang wanita berumur 34 tahun di Sibu menjadi mangsa terbaharu jangkitan wabak rabies di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataannya pada Khamis memaklumkan wanita terbabit adalah mangsa keempat korban virus berkenaan bagi tahun ini di negeri itu.

“Mangsa meninggal dunia pada 18 Oktober 2020 jam 11.30 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis di Hospital Sibu.

“Jumlah kumulatif sejak wabak rabies diisytiharkan di Sarawak adalah sebanyak 26 kes,” jelas beliau.

Menurut Noor Hisham, mangsa telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober 2020 kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki, lima hari sebelum dimasukkan ke wad.

Susulan itu tambah beliau, mangsa telah diarahkan untuk menjalani rawatan dan ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19 Oktober lalu mengesahkan mangsa telah dijangkiti wabak rabies. 

“Siasatan mendapati kawasan kediaman mendiang berdekatan dengan tapak pelupusan sampah yang mana terdapat anjing liar yang berkeliaran.

“Mangsa pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada penghujung tahun 2018 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan,” tambah Noor Hisham.

Malah tegas beliau, anjing peliharaan dimiliki mangsa dilaporkan bercampur bebas dengan haiwan lain dan tidak pernah diberi suntikan vaksin anti-rabies.

“Anjing tersebut walau bagaimapun telah dibunuh oleh orang awam susulan satu kejadian di mana ia pernah menyerang seorang lagi individu.

“Akan tetapi, tiada sebarang sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing tersebut,” dedah Noor Hisham menerusi kenyataan sama.

Bagi kes ini, kata beliau, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu telah memaklumkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk melakukan tangkapan bagi anjing di sekitar kawasan kediaman mendiang.



Ujarnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak terus komited dalam membanteras serta mengawal jangkitan virus berkenaan secara menyeluruh.

Dalam pada itu, beliau terus menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan sewajarnya bagi mengelakkan jangkitan rabies dalam kalangan manusia.