TEMERLOH: Enam ketulan mampat disyaki ganja seberat 6.156 kilogram bernilai RM18,600 dirampas di tepi jalan berhadapan sebuah sekolah dekat Jalan Maran di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan memberitahu, seorang wanita yang merupakan penganggur ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada jam 3.15 petang.

Menurutnya, ganja terbabit dijumpai dalam satu guni yang dipegang oleh suspek.

"Hasil rampasan membabitkan enam ketulan disyaki ganja yang dibalut dengan plastik.

"Turut dirampas wang tunai berjumlah RM56," katanya dalam kenyataan.

Ujarnya, keputusan ujian saringan awal mendapati suspek positif ganja dan memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. - Sinar Harian