Wanita hamil maut ditembak di perut, buruh direman 5 hari

Muhafandi Muhamad
Jun 5, 2022 06:53 MYT
Muhammad Zaki berkata, pihaknya telah menahan lelaki terbabit jam 11.30 malam tadi. - Foto BERNAMA
TUMPAT: Seorang buruh ditahan reman lima hari oleh Mahkamah Majistret Tumpat, di sini hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang wanita mengandung yang ditemukan dengan kesan tembakan di bahagian perut.
Mangsa ditemukan dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di Kampung Repek, di sini petang semalam.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 40 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Kamarul Hasyime Rosli bermula hari ini sehingga Khamis depan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhammad Zaki Harun berkata, pihaknya menahan lelaki terbabit jam 11.30 malam tadi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
BACA: Wanita hamil mangsa tembakan merupakan ibu tunggal tiga anak
BACA: Wanita mengandung ditemui maut dengan kesan tembakan pada perut
Mayat mangsa yang berusia 26 tahun dan mengandung tujuh bulan itu ditemukan oleh orang awam sekitar 4 petang semalam sebelum dimaklumkan kepada pihak polis.
Mangsa yang bekerja yang sebagai peniaga ditemukan terbaring di tempat duduk pemandu.
Pemeriksaan polis kemudiannya mendapati terdapat kesan tembakan di perut kiri mangsa.
Hasil temubual bersama seorang saksi mendapati, kenderaan itu itu diparkir di tepi jalan sejak petang kelmarin.
Turut ditemukan satu kelongsong peluru di bahagian kaki tempat duduk penumpang belakang sebelah pemandu.
#wanita hamil #ditembak di perut #Pasir Mas #buruh ditahan