PETALING JAYA :Seorang wanita disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pakej pelancongan yang menawarkan hotel mewah, melibatkan kerugian lebih RM33,000 ditahan polis, pada Khamis.

Modus operandi scam pelancongan itu adalah 'menjerat' mangsa dengan tawaran pakej pelancongan murah yang diiklankan di Instagram dan Facebook.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Azanee Mohd Faizal  berkata, wanita berusia 26 tahun itu ditahan di pejabat bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak oleh Polis Petaling Jaya.

Beliau berkata, siasatan ke atas wanita itu dilakukan selepas menerima laporan daripada seorang peniaga berusia 28 tahun pada 14 September lalu.
 
"Berdasarkan laporan, terpedaya dengan tawaran murah yang diiklan menerusi laman sosial, lelaki itu membuat tempatan pakej percutian tiga hari dua malam di sebuah hotel di Port Dickson dengan bayaran RM176 pada 20 Mei lalu.

"Pada 19 Jun lalu, mangsa sekali lagi membuat tempatan di hotel yang sama untuk percutian satu malam dengan bayaran RM80," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Nik Azanee berkata, kesemua bayaran itu dimasukkan ke dalam akaun syarikat suspek dan kesemua urusan antara kedua-dua pihak dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp.

Pada masa yang sama, mangsa juga menjadi ejen kepada suspek dengan menerima bayaran daripada pelanggan-pelanggan lain untuk tempahan percutian yang ditawarkan oleh syarikat pelancongan itu, membabitkan kerugian sehingga RM33,308.

"Selepas terlihat hantaran yang dikongsi dalam Instagram mengenai pendedahan penipuan syarikat pelancongan itu, mangsa cuba menghubungi suspek namun gagal. Mangsa kemudiannya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis," katanya.

Beliau memberitahu, wanita itu didakwa Mahkamah Petaling Jaya atas tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada Jumaat.

Wanita itu bagaimanapun dibenarkan dijamin dengan RM3500 bagi setiap pertuduhan selepas dia mengaku tidak bersalah atas kesmua pertuduhan itu. 

Pemeriksaan juga mendapati, polis membuka 44 kertas siasatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.