MALAYSIA
Wanita langgar tiga motosikal, serang orang awam guna pisau ditahan

Menurut polis, selepas melanggar tiga motosikal, suspek keluar dari kenderaan dan menyerang orang awam berdekatan dengan sebilah pisau. - Media sosial
KAJANG: Seorang wanita bukan warganegara berusia 24 tahun ditahan polis selepas memandu kereta secara cuai sehingga melanggar tiga buah motosikal, sebelum menyerang orang awam dengan pisau di Bandar Kajang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Naazron Abdul Yusof dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 11.58 pagi berhampiran sebuah pusat beli-belah di kawasan persimpangan lampu isyarat.
Katanya, polis kemudian menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai insiden tersebut.
Menurut Naazron, selepas melanggar tiga motosikal, suspek keluar dari kenderaan dan menyerang orang awam berdekatan dengan sebilah pisau.Hasil bantuan orang awam, suspek berjaya ditahan bersama dua bilah pisau sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Kejadian itu menyebabkan enam mangsa tempatan berusia antara 21 hingga 60 tahun cedera.
Tiga motosikal turut rosak akibat pelanggaran tersebut.
Suspek kini ditahan dan akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada Khamis (14 Ogos).
Motif kejadian masih dalam siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh sehingga menyebabkan kemudaratan kepada orang lain, yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda tidak melebihi RM2,000 jika sabit kesalahan.
Selain itu, kes juga disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000, serta penjara tidak melebihi 12 bulan jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes diminta menghubungi balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat, Insp. Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-691 9817 bagi membantu siasatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami